TaHNiaH 1MaLaYSiA
YaNG TeRPuJi SeBaiK-BaiK KeMuLiaaN
Kami berlindung dengan-MU ya ALLAH daripada syaitan yang direjam...
Dengan nama ALLAH Yang MAHA PENGASIH lagi MAHA PENYAYANG
Assalamu’alaikum wrh wbt...
Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah maju setapak lagi dalam melaksanakan agenda 1Malaysia dengan meluluskan lesen judi sempena kejohanan Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung pada bulan Jun dan Julai ini. Walaupun telah jelas pengharaman judi itu di dalam Islam melalui firman ALLAH dalam al-Quran yang bermaksud:
Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang khamar (arak) dan judi. Katakanlah, “Pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kepada manusia. Tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya.”....
(Surah Al-Baqarah: ayat 219)
Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung. Dengan minuman keras dan judi itu, syaitan hanyalah bermaksud menimbulkan permusukan dan kebencian di antara kamu, dan menghalangi kamu daripada mengingati ALLAH dan melaksanakan solat, maka tidakkah kamu mahu berhenti.
(Surah Al-Maidah: ayat 90 – 91)
Tetapi dengan angkuh dan sombongnya, kerajaan UMNO-BN masih juga tetap dengan pendirian mereka untuk menghalalkan perjudian atas alasan-alasan tidak masuk akal mereka.
Di antara alasan yang diberikan dalam kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Awang Adek, kelulusan lesen judi ini diberikan kerana sindiket perjudian sukan (merujuk kepada Piala Dunia) yang berleluasa di kalangan ahli underground tanpa pemantauan mana-mana pihak. Hal ini menyebabkan aktiviti haram ini (mengikut undang-undang negara) perlu untuk dijadikan legal ataupun dalam erti kata yang lain dihalalkan supaya aktiviti haram ini dapat dibendung dan disusun dengan lebih teratur. Di samping itu, hasil kutipan yang diperolehi boleh digunakan untuk pembangunan negara termasuklah sukan negara.
Bagus. Bagus sekali alasan yang diberikan. Wang HARAM hasil daripada aktiviti HARAM digunakan untuk rakyat supaya rakyat boleh bersama menikmati hasil HARAM perjudian. Mari kita bersama menikmati nikmatnya wang HARAM.
Keputusan di Tangan Anda
Keratan akhbar Harian Metro yang memaparkan 3 muka penuh dan 2 muka sebahagian yang memaparkan iklan judi. 5 muka surat bukanlah jumlah yang sedikit. Sedangkan pembaca Harian Metro kebanyakannya Islam-Melayu. Siapakah yang menjuarai judi di Malaysia?
Selepas satu, satu lagi kemungkaran yang dilakukan secara terang-terangan dilakukan oleh pihak kerajaan. Inilah akibatnya apabila kita memilih orang yang jahil dan menolak Islam sebagai pemimpin kita, walaupun mereka itu Islam pada nama.
Inilah akibatnya apabila tangan-tangan yang sesuka hati memilih mana-mana pemimpin yang mereka suka asalkan habuan dunia dapat diperolehi.
Inilah akibatnya apabila ada pihak yang tidak mengambil peduli lantas tidak mengambil bahagian dalam proses memilih pemimpin hanya kerana beralasan sistem yang digunakan adalah sistem kuffar.
Inilah akibatnya apabila ada yang mengambil ringan soal memilih pemimpin hanya kerana malas dan leka akan tanggungjawab masing-masing.
Ingatlah, satu undian anda mampu mengubah segalanya.
Satu undian anda akan memberi sama satu saham di akhirat sana. Jika baik apa yang diundi, maka insyaALLAH baiklah natijahnya. Jika buruk apa yang diundi, maka buruklah natijahnya.
Sudah jelas, terang lagi bersuluh kejahilan demi kejahilan, kemungkaran demi kemungkaran, maksiat dan dosa, serta pelbagai lagi tentangan yang telah mereka lakukan untuk menidakkan perlaksanaan Islam di samping menentang dan memusuhi Islam.
Pilihan di tangan anda. Yakinlah, anda mampu mengubahnya. insyaALLAH...
ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!
Wallahua’lam...