NiKMaTnYa LeTiH
YaNG TeRPuJi SeBaiK-BaiK KeMuLiaaN
Kami berlindung dengan-MU ya ALLAH daripada syaitan yang direjam...
Dengan nama ALLAH Yang MAHA PENGASIH lagi MAHA PENYAYANG
Assalamu’alaikum wrh wbt...
Apabila kita semua terlalu banyak melakukan sesuatu perkara, pasti akan datang satu perasaan yang dinamakan letih. Letih ini pula biasanya datang dalam 2 bentuk, letih fizikal dan letih mental (otak). Keletihan yang dialami oleh fizikal akan menyebabkan kita mengalami sakit-sakit badan. Tetapi jika otak kita yang letih, pasti seluruh tubuh kita akan menjadi layu. Kerana otaklah yang mengawal seluruh aktiviti anggota badan.Pasti ramai yang sudah merasai kedua-dua jenis letih ini. Letih selepas melakukan aktiviti-aktiviti lasak seperti jungle tracking, wall climbing, dan night walk pasti sedikit sebanyak meninggalkan kenangan manis kepada kita walaupun keletihan yang ditanggung, ditambah dengan kesan-kesan luka dan calar, amatlah memeritkan.Begitu juga dengan mereka yang letih berfikir sepanjang mesyuarat, mahupun ketika peperiksaan berlangsung, merupakan antara kenangan yang pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam walaupun hasilnya tidak seperti apa yang kita inginkan.Persoalannya, sejauh mana kita mensyukuri nikmat letih ini? Letih merupakan suatu nikmat kurniaan ILLAHI yang amat istimewa jika kita betul-betul memahami dan menghayati makna tersirat disebalik keletihan yang kita alami. As-Syahid Imam Hassan Al-Banna pernah berkata yang bermaksud, tanggungjawab yang kita pikul adalah lebih banyak daripada masa yang kita ada. Daripada kata-kata ini dapatlah kita fahami bahawa letih itu merupakan sesuatu yang pasti.Sebagai pejuang agama ALLAH yang maha suci ini, akan tiba masanya apabila masa 24 jam yang dikurniakan ini membatasi pelbagai tugasan dan taklifan yang diberikan kepada kita. Sebagai mahasiswa contohnya; assignment, projek tahun akhir, ditambah dengan usrah, komitmen bersama persatuan dan masjid; merupakan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan. Kerana semua yang kita lakukan itu pasti untuk satu tujuan sahaja, keredhaan ALLAH Ta’ala.Dengan pelbagai tugasan ini juga, sepatutnya kita bersyukur kerana dengan kesibukan tugasan yang kita ada ini, semakin kurang waktu kita untuk melakukan perkara-perkara yang lagha dan tidak berfaedah. Tiada masa untuk bermain-main, kurang masa untuk berbual kosong, tiada masa untuk bermain computer game, dan bermacam lagi manfaat yang kita akan perolehi. Cuma, kesibukan apakah yang kita lakukan itu? Adakah kesibukan yang membawa kita semakin dekat dengan ALLAH ataupun kesibukan yang menjauhkan kita dengan ALLAH.Nikmatilah keletihan yang kita sedang lalui ini, kerana ianya terlalu banyak manfaatnya. Manfaatkan masa yang ada dengan pelbagai aktiviti berunsur Islam dan dakwah agar semakin ramai dapat merasai kemanisan Islam sebagai mana yang sedang kita rasai ini.Fikir-fikirkan... Bersyukurlah... Alhamdulillah...Wallahua’lam...