Dengan nama ALLAH Yang MAHA PENGASIH lagi MAHA PENYAYANG
Assalamu’alaikum wrh wbt...
Ketika Cinta Bertasbih merupakan sebuah filem garapan daripada karya asal Habiburrahman el-Shirazy, atau lebih dikenali sebagai Kang Abik. Filem yang diarahkan oleh pengarah ‘otai’ Indonesia, Chaerul Umam ini mengisahkan tentang kehidupan seorang mahasiswa Universiti al-Azhar, Mesir dalam mendepani kehidupan sebagai lelaki muslim, anak dan ‘abang-abang’ kepada sahabat-sahabatnya.
Manakala drama bersiri yang turut menjadi fenomena di kalangan remaja Malaysia, Nur Kasih pula merupakan drama yang diarahkan oleh pengarah Khabir Bhatia bersama Faisal Ishak, dengan karya asal Mira Mustaffa. Drama ini tertumpu kepada kehidupan dua beradik yang berlainan personaliti, si abang yang menjalani kehidupan sebagai Muslim sejati, manakala si adik yang memilih cara hidup Barat yang lebih sesuai dengan jiwanya.
Kedua-dua karya seni ini merupakan antara sentuhan emas yang menjadi fenomena yang agak hebat di negara masing-masing. Walaupun ana akui masih terdapat beberapa kelemahan dalam kedua-dua karya ini, namun kita harus menghargai usaha mereka dalam membawa karya-karya berunsur Islamik seperti ini agar lebih banyak karya-karya seperti ini dalam media arus perdana pada masa akan datang.
Banyak sebenarnya yang boleh dikupas melalui dua karya hebat ini. Namun apa yang sering menjadi masalah ialah bagaimana manipulasi wanita yang dirancangkan oleh musuh-musuh Islam terutamanya orang Yahudi tidak digunapakai oleh kita, orang Islam. Jika kita lihat dalam kedua-dua karya ini, masih terdapat lagi beberapa isu yang boleh dikatakan tidak Islamik seperti pemakaian wanitanya yang agak keterlaluan, pergaulan bebas serta ‘kemesraan’ suami isteri.
Masalah yang Dihadapi
Jika kita lihat dalam kedua-dua karya ini, ada beberapa pelakon yang memakai pakaian yang tidak menutup aurat dan jelas-jelas menjolok mata. Mungkin lakonan ini perlu untuk menunjukkan bagaimana sosialnya kehidupan seseorang bilamana mereka jauh daripada Islam, tetapi wajarkah elemen-elemen seperti ini ditunjukkan di khalayak ramai dalam sebuah karya yang berunsur Islamik. Pada ana, pakaian yang keterlaluan ini tidak perlu ditunjukkan, cukuplah sekadar gaya hidup yang agak bebas seperti meminum arak.
Selain itu, pergaulan bebas yang turut ditampilkan agak mengganggu ana apabila pelakon yang terdiri daripada lelaki dan perempuan berpelukan dan berkelakuan menjelekkan dalam drama mahupun filem. Tidak perlu rasanya adegan peluk memeluk ini ditampilkan kerana ianya akan merosakkan nilai-nilai Islam dalam sesebuah karya.
Manakala adegan antara suami isteri dalam karya-karya ini juga tidak patut ditunjukkan kerana mereka bukanlah suami isteri yang sebenar di luar set pengambaran.
Penyelesaian
Ana pun tidak pasti sama ada isu-isu berkaitan hal-hal seperti ini pernah ataupun tidak dibincangkan oleh para ulama’ dan ilmuwan Islam. Kerana pada ana, isu ini merupakan isu yang agak besar. Medium hiburan perlu juga dijadikan suatu perbincangan kerana manusia ini pelbagai ragam dan ada di antara kita semua yang menyukai sesuatu itu disampaikan dalam bentuk hiburan seperti drama, filem, lagu dan lain-lain.
Islam itu luas dan Islam tidak pernah menghalang ummatnya untuk berhibur selagi mana hiburan itu tidak bercanggah dengan syariat Islam. Namun, penghalang seperti ini sebenarnya seolah menghalang daripada da’wah itu disampaikan melalui hiburan. Ya, kita ada alternatif seperti nasyid sebagai suatu medium untuk menyampaikan mesej-mesej dakwah melalui nyayian. Namun, bagi orang yang sukakan live action daripada nyayian pasti inginkan sesuatu yang boleh mereka lihat. Dan sepatutnya kita mengambil peluang ini untuk menyampaikan mesej-mesej dakwah agar semakin ramai orang boleh memahami Islam dengan menonton televisyen.
Tidak dinafikan, terdapat banyak juga siran televisyen seperti forum perdana, rancangan mengaji yang turut mengajar tentang Islam. Banyak juga drama yang memaparkan kisah-kisah yang menginsafkan seperti seksa kubur dan sebagainya. Juga terdapat dokumentari yang memaparkan kehidupan para anbiya’ serta keagungan ummat Islam sewaktu zaman kegemilangan Islam. Namun, jika hendak dibandingkan dengan berleluasanya rancangan hiburan penuh maksiat yang disajikan dalam media arus perdana, ianya jelas menenggelamkan rancangan-rancangan Islamik ini tambahan ianya ditayangkan pada waktu ‘orang tidak menonton televisyen’.
Impian Tak Kesampaian
Ana amat mengimpikan suatu hari nanti karya-karya hebat yang banyak terdapat dalam bentuk novel dapat digarap menjadi filem mahupun drama, yang mana ianya dapat mendidik orang ramai yang masih dahagakan Islam dengan ajaran Islam yang sebenar. Bukan hanya Islam dari beberapa aspek yang kecil, tetapi penuh dengan unsur-unsur maksiat. Jika kita boleh angankan bersama, bagaimana suatu hari nanti, Malaysia boleh menghasilkan karya yang menonjolkan kehebatan dan kegemilangan Islam itu tanpa menggadaikan prinsip-prinsip asas Islam, dan terjual dipersada tempatan dan antarabangsa. Mungkin juga alternatif animasi boleh diambil sebagai sesuatu yang dapat melonjakkan Islam itu sendiri.
InsyaALLAH, sebagai penggerak Islam marilah kita berusaha bersama meningkatkan kesedaran ummat ini terhadap Islam melalui kaedah dakwah yang pelbagai. Jangan biarkan diri dibelenggu oleh hanya satu kaedah sahaja tetapi manfaatkanlah apa sahaja yang telah tersedia di hadapan kita.
Wallahua’lam...
p/s: InsyaALLAH ana akan membuat sedikit review yang lebih mendalam tentang filem Ketika Cinta Bertasbih dan drama Nur Kasih dalam masa terdekat.