Assalamu’alaikum wrh wbt…
Belum terlambatnya kiranya ana mengucapkan tahniah atas kemenangan Dato’ Seri Ir. Nizar yang telah dinobatkan sebagai Menteri Besar (MB) Perak yang sah setelah beberapa bulan yang lalu Kerajaan Barisan Nasional menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) lalu menubuhkan kerajaan haram kedua di dunia di Negaraku ini. Pelbagai episod-episod suka dan duka berlaku di Perak yang menyaksikan Institusi Raja-Raja diperkotak-katikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Malahan, sistem demokrasi yang mereka amalkan selama ini disalahgunakan apabila kegilaan kuasa itu wujud dalam jiwa-jiwa yang dahagakan pangkat dan darjat dunia semata. Wana’uzubillah...
7 Mei yang lalu menyaksikan pencabulan sistem demokrasi oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib, Perdana Menteri (PM) ke-6 dimana kekasaran dan sifat kehaiwanan menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Speaker dan Ahli DUN PR dikasari bagaikan haiwan yang tiada belas kasihan. Apalah salah mereka ini sehingga diperlakukan sebegitu rupa. Hanya kerana anda berkuasa tidak bermakna anda juga berhak memperlakukan manusia, hamba-hamba ALLAH itu sebegitu rupa.
Meskipun Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Dato’ Seri Nizar merupakan MB Perak yang sah, tetapi BN tetap dengan kedegilan mereka untuk memiliki takhta teratas negeri dengan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk menangguh keputusan Mahkamah Tinggi. Siapa yang gila kuasa sebenarnya ni? YB Nizar dari PR ataupun YB Zambry dari BN? Andai Nizar pernah dilabel dengan pelbagai kritikan dan kutukan hanya kerana enggan melepaskan jawatan yang juga amanah rakyat yang telah diberikan kepadanya, apa pula sebab musabab YB Zambry enggan melepaskan jawatan haram yang disandangnya itu? Siapa yang gila kuasa? Kejatuhan YB Nizar atas dasar dengki khianant itu disalahertikan malah dipermain-mainkan oleh media arus perdana untuk memperlihat beliau yang juga merupakan ahli Parti Islam Semalaysia (PAS) sebagai seorang yang durhaka kepada Sultan.
Begitulah kehidupan kita sebagai hamba ALLAH di dunia ini andai kita jauh dari petunjuk-Nya. Jauh dari Al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Apakah kita tidak merasa bersalah membiarkan kemusnahan dilakukan mereka tanpa memikirkan nasib rakyat yang terpinga-pinga menantikan penyelesaian isu yang sudah sekian lama berlarutan. Sampai bila isu ini akan selesai? Benarkah dengan pembubaran DUN dan Pilihanraya yang akan diadakan di Perak bakal menyelesaikan krisis di Perak ini? Atau episod politik di Perak ini bakal berlanjutan lagi selama 1 tahun? Marilah kita bersama berfikir untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian untuk masalah ini.
Jangan hanya berdiam diri jika anda mempunyai idea yang bernas untuk menyelesaikan masalah ini. Meskipun para cerdik pandai telah bersepakat memberi jawapan “Hanya pilihanraya satu-satunya jalan untuk menyelesaikan krisis politik di Perak”, adakah benar ketelusan pilihanraya itu berpihak pada rakyat.
Wahai pemimpin-pemimpin masyarakat yang diberi hak untuk memerintah, laksanakanlah tanggungjawab yang telah diberikan rakyat itu seamanah mungkin. Jangan kita angkuh dan bangga dengan jawatan yang ada sedangkan itu semua hanyalah pemberian ALLAH yang bersifat sementara. Dia berhak ke atas apa yang dikuasai-Nya.
Wallahua’lam...