SaHaBaT yaNg diRinDui
YaNG TeRPuJi SeBaiK-BaiK KeMuLiaaN
Assalamu’alaikum wrh wbt…
Hari demi hari berlalu dengan begitu pantas. Pengakhiran semester akan tiba tidak lama lagi. Maka akan bermulalah lagi episod hidup ku di kampung halaman. Walaupun terletak tidak berapa jauh dari tempat pembelajaran ku, namun berjauhan dengan keluarga tercinta amat dirasai.
Jumaat yang lalu, ana berkesempatan bertemu sahabat lama yang juga menuntut tidak jauh daripada tempat ana. Berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur (KL) sambil berborak bercerita tentang perkembangan terbaru masing-masing sedikit sebanyak mengubat kerinduan kepada sahabat yang dirindui ini.
Gambar Hiasan
Isu yang Timbul
Banyak perkara yang kami borakkan. Daripada perkembangan pembelajaran masing-masing hinggalah ke bab politik (hehehe... memang itu topik kegemaran kami sejak dari matrikulasi). Apa yang menariknya apabila kami dapat melihat beberapa ‘adegan-adegan’ kurang enak anak-anak muda zaman kini yang nampak seolah semakin jauh daripada Islam. Kerdilnya rasa diri ini apabila hanya mampu melihat dan mencegah dengan hati...=(
Kami juga sebenarnya terfikirkan kenapa dalam sebuah pusat membeli belah yang besar seperti Mid Valley (tempat perjumpaan kami), tidak terdapat sebuah tempat solat yang khusus seperti masjid. Walaupun ada surau di sana, tetapi dalam sebesar-besar tempat membeli-belah, tidak bolehkah sekurang-kurangnya disediakan satu tempat solat yang besar dan selesa. Jarak antara masjid terdekat dengan Mid Valley agak jauh tetapi masih boleh bersolat Jumaat dengan berjalan kaki.
Gambar Hiasan
Kami juga hairan bagaimana dalam sebuah negara Islam seperti Malaysia (kata kerajaan), pakaian-pakaian yang nyata keseksian dan kelucahannya ada dijual secara terbuka. Ya, fesyen semasa perlu diikuti agar tidak nampak seolah-olah ketinggalan zaman. Tetapi masalahnya ramai di kalangan umat Islam yang memakai pakaian yang seksi dan kelucahan itu. Apalah perasaan lelaki-lelaki yang bergelar ‘pakwe’ apabila mempunyai ‘makwe’ seperti itu. Bangga? Entahlah... belum ada pengalaman mempunyai awek seperti itu.
Dalam mendepani hari-hari mendatang ini, ana semakin resah dan risau akan masa depan anak muda yang sebaya apabila semakin ramai yang terikut-ikut dengan arus kemodenan yang jelas menentang fitrah penciptaan manusia itu. Dari segi pakaian, pergaulan, adab dan hampir segala-galanya kita semakin ke arah zaman jahiliyyah yang hakiki. Ya, tidak dinafikan semakin ramai yang sudah mahu menerima Islam sebagai suatu cara hidup mereka, tetapi ana lebih risaukan mereka yang semakin jauh dengan Islam. Masalahnya kita umat Islam hari ini berpecah-belah hanya kerana berlainan fahaman dan kefahaman. Ada perkara kecil yang mereka tidak sehaluan atau tidak sefahaman, mereka akan berjauhan dan bermasam muka. Hmmm, mungkin baik di depan tetapi buruk di dalam. Itulah masalah umat Islam Melayu hari ini. Hanya mengambil yang buruk daripada Barat, tetapi yang baik enggan diikuti. Seperti contoh, budaya berhibur berlebihan masyarakat Barat semakin menjadi ikutan sehingga berleluasa zina dan maksiat yang lain. Tetapi budaya menghargai masa dan etika bermesyuarat yang diamalkan masyarakat Barat tidak mahu dijadikan pedoman dan ikhtibar.
Blog
Dalam kesibukan menghadapi hari-hari terakhir di kampus, ana juga berkesempatan menjenguk dan melawat laman blog sahabat-sahabiyah ana. Menarik. Terasa amat-amat kerdil diri ini walaupun hanya di dunia maya ‘tanpa sempadan’ ini. Bilalah agaknya ana akan jadi seperti mereka. Istiqamah dalam perjuangan Islam di samping istiqamah dalam perkara-perkara yang lain yang juga menjadi tuntutan sebagai pelajar yang sentiasa belajar.
Gambar Hiasan.
Melihat dunia semasa sambil membaca pendapat sahabat-sahabiyah dari merata tempat membuatkan ana lebih terdedah kepada dunia luar yang sedia mencabar ini. Ada pendapat yang rapuh, ada juga yang kuat disokong oleh hujah-hujah yang mantap dan bernas, dan ada juga yang tidak ketinggalan memuatkan ayat-ayat suci kitab Al-Quran dan hadith Nabi s.a.w. Membaca blog-blog mereka mencabar ana untuk terus maju ke depan dalam dunia blog ini. Semoga cita-cita ana untuk menyampaikan dakwah dengan istiqamah dan berkesan dalam blog ini menjaid kenyataan juga suatu hari nanti. InsyaALLAH...
Wallahua’alam...