SaYanG aTau BenCi [BaHagiaN 2]
YaNG TeRPuJi SeBaiK-BaiK KeMuLiaaN
Kisah 2
Siti dan Kassim. Pasangan dua merpati sejoli. Mesra sebagai pasangan suami isteri yang sah walaupun fizikal dimamah usia. Pada suatu petang yang dingin, si isteri meluahkan isi hatinya kepada suami yang tercinta.
“Abang, Ti ada benda nak cakap dengan abang ni,”
“Apa dia Ti? Cakaplah. Abang sentiasa sudi mendengar,” balas si suami dengan senyuman.
“Dah lama Ti simpan hajat ni, bang. Kalau boleh, Ti nak tengok kita ada kereta sendiri. Maklumlah, anak-anak kita dah makin besar. Si Along tu tak lama lagi nak naik tingkatan 4. Angah dengan adik pulak, dua-dua masuk sekolah menengah tahun depan,” luah si isteri berhati-hati agar tidak melukakan hati suami.
“Hmmmm... Abang pun dah lama fikirkan perkara ni, sayang. Cuma abang belum bersedia lagi. Duit gaji abang pon cukup-cukup je Ti nak tanggung kita sekeluarga makan. Adalah sikit-sikit kalau kita nak beli apa-apa barang. Tapi betul jugak apa yang Ti cakap kan tu,” Kassim menjelaskan.
“Kalau abang ada masalah dari segi kewangan, Ti boleh keluarkan duit simpanan dalam bank tu. Cukuplah bang nak beli satu kereta untuk kita sekeluarga. Muat. Bolehlah nak keluar jalan-jalan ke mana-mana. Senang sikit bang. Kalau tak, nak kena angkut sorang-sorang. Kadang-kadang kita keluar naik bas ataupun teksi. Itupun kalau tak hujan, bang. Kalau hujan, kesian anak-anak kita tu. Tak dapat kita nak bawak pergi jalan-jalan,”
“Abang faham Ti,”
“Abang, Ti minta maaf kalau Ti mendesak abang. Ti cuma nak keselesaan untuk kita sekeluarga. Maafkan Ti, ye bang.” rayu Siti sambil mengucup tangan Kassim.
-------------------------------------------------------------------------------------
Masa pun berlalu, dan akhirnya mereka berdua bersepakat mengeluarkan duit simpanan mereka untuk membayar kereta Proton Persona. Semahunya mereka ingin menjauhkan diri daripada membayar secara ansuran kerana jumlahnya nanti akan jauh berlipat kali ganda dek kerana jumlah bunga (riba’) yang dikenakan. Lalu, Kassim tekad untuk membelinya secara tunai. Wang di bank masih belum mencukupi lalu digagahkan jua dirinya untuk meminjam di dengan ahli keluarga yang terdekat.
Kassim cukup rapat dengan adik perempuannya, Sakinah. Hampir segala masalah yang mereka hadapi dikongsikan bersama antara kedua keluarga itu. Adik ipar Kassim, Rahman, yang juga suami Sakinah, juga sering menziarahi Kassim sekeluarga. Dan kali ini, Rahman bersetuju meminjamkan sejumlah wang yang diperlukan Kassim. Kassim amat berteima kasih kepada adiknya itu. Dia berjanji akan melunaskan hutangnya itu sebaik sahaja dia memperoleh wang.
Setelah hajatnya tertunai, maka bergembiralah keluarga itu dengan kereta baru mereka. Niat Kassim cuma satu, ingin membahagiakan keluarganya itu agar mereka tidak lagi merasa kesusahan seperti apa yang pernah dirasainya ketika dia masih kecil. Namun, kegembiraan yang dikecapi Kassim tidak lama. Apa yang tidak disangkanya akan berlaku, berlaku jua.
“Salam. Abg Kassim. Hrp abg bleh byr duit yg abg pnjm 2 scpt mgkn. Kmi prlukn duit 2 scpt mgkn. Bleh ye, bang,” satu mesej daripada adik iparnya menjengah inbox telefon bimbitnya.
Kassim runsing. Dia pun masih belum sebulan menikmati nikmat menggunakan kereta sendiri, kini adik iparnya pula sudah mula meminta duit yang dipinjamnya. Resah Kassim apabila memikirkan semua ini. Wang perbelanjaan semenjak menggunakan kereta semakin meningkat. Dia tetap berkeras tidak mahu meminjam pada mana-mana bank. Tetapi dengan mesej daripada adik iparnya itu...
Selang beberapa hari, adiknya ipar pula menelefonnya. Nadanya agak keras. Memaksa. Namun diminta Kassim untuk bersabar sementara dia dan isterinya mencari jalan untuk menyelesaikan hutang mereka. Perasaan geramnya pada keluarga adiknya mula timbul.
“Ada adik pun tak guna,”. Hatinya bermonolog sendirian.
Hari ke hari hatinya semakin tidak tenang. Ada sahaja mesej ataupun panggilan telefon daripada adik mahupun adik iparnya itu meminta supaya Kassim segera menjelaskan hutang mereka. Jika dulu Kassim sekeluarga seolah menyanjung keluarga Sakinah, kini perasaan geram dan benci pula menguasai. Tidak disangka mereka boleh berubah daripada sebelumnya. Jika dulu mereka hanya mengeluarkan kata-kata yang manis, boleh bergurau senda, namun kini semuanya berubah.
Setelah hampir lima tahun, barulah segala hutang Kassim pada Rahman selesai. Puas hati Kassim apabila dapat melangsaikan hutangnya itu. Tetapi keakraban dua keluarga itu mula berubah. Tiada lagi ramah mesra seperti dahulu. Mereka juga jarang berhubung, mungkin kerana perbuatan memaksa keluarga Sakinah terhadap abangnya sendiri, Kassim yang sedikit sebanyak melukakan hati seorang abang. Berjumpa sewaktu balik ke kampung pun mereka jarang bertegur sapa. Hanya senyuman ‘plastik’ yang menjengah setiap kali bertembung.
Jika dulu sayang, kenapa sekarang benci?